Saturday, October 12, 2013

Soal Jawab Agama Siri 99 (Puasa Hari Arafah, Menonton Vedio Lucah, Kerjasama Politik, Kuasa Politik Dan Hukum Merogol)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 99 adalah membicarakan persoalan fadilat puasa sunat Hari Arafah, hukum melihat gambar  dan vedio lucah, hukum kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan orang bukan Islam, keperluan kuasa politik dan hukum merogol dalam Islam.

776. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan fadilat puasa sunat Hari Arafah?

Jawapan :

Di saat tetamu-tetamu Allah di Tanah Suci sedang beribadat ketika wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, kita yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan haji, bolehlah melakukan puasa Hari Arafah. Puasa sunat Hari Arafah adalah khas untuk mereka yang tidak pergi menunaikan haji.

Kelebihan Puasa Hari Arafah :

Telah tersebut dalam satu hadis sahih riwayat Muslim :

Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Maka untuk mereka yang berpuasa pada Hari Arafah akan diganjarkan dengan penebusan dosa-dosa kecil setahun sebelum dan selepas. InsyaAllah. Kalau betul niat dan cara melaksanakannya.

Didalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Puasa Hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah SAW agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya”  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah r.ha. telah berkata : "Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada Hari Arafah."(Hadis Riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)

777. Soalan : Apa hukum kita melihat  gambar-gambar  atau menonton video lucah kononnya pemimpin tertentu di dalam masyarakat?

Jawapan :

Hukumnya haram melihat gambar-gambar  atau menontun vedio lucah kerana seseorang tidak harus melihat aurat orang lain (selain suami-isteri) kecuali jika darurat seperti tujuan perawatan, mudim yang menguruskan khitan, hakim yang menghakimi kes, polis yang menjalankan siasatan dan seumpamanya. 

Adapun orang lain tetap dengan hukum asal iaitu haram melihat aurat orang lain. Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya." (Surah an-Nur, ayat 30). 

Orang yang upload video sebegitu ia melakukan dosa menyebarkan kejahatan dan ia turut menanggung dosa orang lain yang melihat video tersebut. 

Apabila membicarakan mengenai vedio lucah, berlaku di dalam masyarakat bahawa golongan fasik amat suka menggunkan lakunan vedio lucah palsu kononnya pemimpin tertentu telah melakukannya. Lantas video tersebut di sebarkan di you-tube dengan menyebarkan berita-berita fitnah. Sesiapa yang melihatnya dan mempercayainya kemudian menyebarkan pula akan mendapat hukuman qazaf (80 kali sebatan)  jika tidak dapat membawa 4orang saksi yang adil. Jika di dunia terselamat maka di akhirat mereka tidak akan terlepas.

Hendaklah kita sentiasa menjaga maruah diri dan jangan terpengaruh dengan dorongan sekeliling. Orang yang suka menyebarkan kejahatan dan tuduhan-tuduhan buruk kepada orang lain tanpa menggunakan saluran yang ditetap Syariat, mereka adalah orang-orang fasik yang diancam Allah dengan seksaan yang berat oleh Allah sebagaimana  firmanNya (bermaksud);   "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)" (Surah an-Nur, ayat 19). 

778.Soalan : Saya ingin bertanya tentang hukumnya organisasi Islam bekerjasama politik (Tahaluf Siyasi) dengan dengan orang bukan Islam? Harap ustaz dapat jelaskan serba sedikit.

Jawapan;

1. Berkerjasama dengan orang bukan Islam (Tahaluf Siyasi) untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia (kesejahteraan hidup duniawi, keadilan, membenteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya) tanpa melanggar mana-mana hukum-hakam Syariat, hukumnya adalah harus. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam. "Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" (Surah al-Anbiya' ayat 107). 

Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menegaskan tidak dilarang orang Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang baik yang tidak memusuhi kaum muslimin sekalipun pada zahirnya sahaja. Firman Allah SWT maksudnya : "Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil" (Surah al-Mumtahanah ayat 8). 

2. Dari segi praktik pula, Nabi Muhammad Sallalalhu 'Alaihi Wasallam telah mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah/Piagam Madinah) yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah. Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya Nabi tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh Nabi SAW, itu kerana mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda. Jika mereka terus setia dengan Nabi, nescaya mereka akan terus hidup aman damai di Madinah sebagai Ahlul-Zimmah.

3. Rasulullah pernah memberitahu para sahabatnya bahawa baginda pernah menyaksikan persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin-pemimpin Quraish di Mekah sebelum baginda dilantik menjadi Rasul (iaitu persepakatan yang dipanggil Halful-Fudhul. Ketika itu usia Nabi 25 tahun). Persepakatan itu mereka meterai bersama untuk mempertahankan sesiapa yang dizalimi di Mekah atau dirampas haknya. Nabi berkata; "Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya. Ia lebih aku suka dari unta merah" (al-Ahkam al-Sultaniyah, Imam al-Mawardi). 

Perhatikan, bagaimana Rasulullah SAW berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitulah keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya. 

4.  Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal .

Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

5. Kerjasama yang diharamkan ialah yang merugikan Islam dan kaum muslimin, antaranya untuk menegakkan mana-mana sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Syariah Islam (sekular, sosialis, komunis dan sebagainya), membantu orang kafir untuk memerangi kaum muslimin (sebagaimana pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq), menolak Syariat Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam dan sebagainya lagi yang merugikan Islam dan umat Islam.  

Dalam apa keadaan sekalipun, seorang muslim wajib mengutamakan Islam dan umat Islam. Jika suatu persepakatan boleh merugikan Islam dan umat Islam, haram orang Islam menyertai persepakatan sebegitu. Di dalam al-Quran Allah melarang orang beriman berteman rapat dengan orang-orang kafir dengan menyisihkan orang-orang beriman. Begitu juga, Allah melarang mengambil orang-orang yang memusuhi Islam dan umat Islam sebagai teman dan kawan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali" (Surah Ali Imran, ayat 28). 


779. Soalan : Kenapakah umat Islam perlukan kuasa politik untuk menegakkan syariat Islam?

Jawapan : 

Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan mungkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran dan as-Sunah, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

Pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW. agar berdoa memohon diberikan kuasa.

Allah  SWT berfirman maksudnya : “Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (Surah al-Isra’ ayat 80)


Menurut ulama-ulama Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hudud-Nya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80). Wallahu a'lam.

780.Soalan :  Bagaiamanakah dari segi undang-undang Islam menangani permasalahan di bawah;

1. Seorang perempuan yang datang kepada pemerintah mengatakan bahawa dia telah di rogol oleh seorang lelaki yang dia kenali, tetapi dia tidak dapat membawakan 4 orang saksi untuk membuktikan kejadian tersebut. Adakah perempuan tersebut akan di kenakan sebatan 100 kali kerana dianggap sebagai kesalahan zina?. Ataupun sebatan 80 kali kerana tuduhan tanpa membawa saks?i. Dalam hal ini apakah hak dia (perempuan tersebut) di dalam Islam untuk mendapatkan keadilan sebagaimana yang kita tahu memang sukar untuk mendapatkan 4 orang saksi tersebut. Atau dia hanya perlu mendiamkan diri kerana takut akan sebatan 80 kali dan hanya membiarkan kemungkaran tersebut terus berlaku.

2. Bagaiamana pula jika seorang perempuan datang kepada pemerintah mengadu yang dia dirogol oleh seorang lelaki yang dia kenali tetapi dia tidak dapat membawa 4 orang saksi tetapi membawa bukti yang dia telah mengandung sekarang hasil dari kezaliman tersebut. Apakah hak dia sebagai seorang Islam dan apakah yang patut di lakukan oleh pemerintah terhadap orang yang di tuduh tersebut.

3. Jika orang yang di tuduh itu (dalam kes ini ) hanya perlu bersumpah menafikan dia tidak merogol. Adakah bermakna Islam membenarkan perogol tanpa bukti berluasa di negara Islam.

4. Adakah DNA dari anak yang dikandung boleh disabitkan kesalahan terhadap perogol tersebut dalam menghukum 100 sebatan.

Tolong lah ustaz kerana inilah yang selalu di war-warkan bahawa hukum Islam itu zalim dan tidak memihak kepada yang di khianati seperti permasalan tersebut.

Jawapan Ustaz dapat memberi gambaran yang jelas tentang Islam dan membantu saya dalam berdakwah.

Sekian. Hamba Allah

Jawapan;

1. Wanita yang mengadu ia dirogol/diperkosa (yakni berlaku zina ke atasnya tanpa kerelaannya) dan telah disahkan bahawa ia benar-benar dirogol berdasarkan pemeriksaan doktor pakar atau sebagainya, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud atau sebarang hukuman yang lain. Ini kerana penzinaan ke atasnya berlaku secara paksaan dan Nabi SAW. telah bersabda; “Diangkat (yakni tidak diambil kira) dari umatku dosa yang mereka lakukan kerana tersalah, lupa atau dipaksa melakukannya” (Hadis Riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang soheh. ( Al-Jami’ as-Soheh, Imam as-Suyuti, no. 4461. ).

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dari Wail bin Hujrin r.a. ada diceritakan; Seorang wanita telah dirogol/diperkosa pada zaman Nabi SAW. Nabi berkata kepada perempuan yang dirogol itu; “Pergilah! Sesungguhnya Allah mengampunkan engkau”. Adapun mengenai lelaki yang merogolnya, baginda berkata kepada para sahabat; “Rejamlah dia” (kerana ia telah berkahwin).(Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad).

Menurut Prof. Dr. Yusuf Sulaiman; “Wanita yang dirogol jika pengaduan/dakwaannya (bahawa ia dirogol) terbukti benar, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud dan sebarang hukuman yang lain, sebaliknya ia dijaga dan dipelihara hingga melahirkan anak dan dinasabkan anak itu kepadanya dan ia dikahwini selepas itu atas sifatnya sebagai wanita yang belum pernah berkahwin jika ia sememangnya belum pernah berkahwin” 

2. Adapun hukuman ke atas perogol, jika ia mengakui jenayahnya atau jenayahnya disabitkan dengan keterangan dari empat orang saksi yang melihat jenayah itu berlaku di hadapan mereka dengan jelas dan terang, maka ia akan dikenakan hukuman hudud iaitu 100 sebatan jika ia belum pernah berkahwin atau direjam sampai mati jika telah berkahwin. Adapun jika ia tidak mengakui jenayahnya dan tidak ada empat saksi, namun jenayahnya dapat dibuktikan dengan keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang lain (termasuk DNA), maka ia tidak dikenakan hukuman hudud tetapi dikenakan hukuman takzir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pemerintah. Menurut sebahagian ulama; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh.

3. Mengenai DNA, Persidangan Ulamak kali ke 16 yang diadakan di Mekah yang dianjurkan Rabitah Alam Islami telah memutuskan bahawa; "Tidak ada halangan dari segi Syarak untuk menerima keputusan DNA bagi mengesahkan kes jenayah dan menjadikannya sebagai salah satu kaedah bagi sabitan jenayah tetapi khusus bagi hukuman Takzir sahaja. Adapun hudud dan qisas, ia tidak boleh dijatuhkan dengan semata-mata bukti DNA, tetapi mesti dengan keterangan saksi atau dengan pengakuan dari tertuduh sendiri. (Al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah.)

Hukuman takzir adalah terserah kepada kearifan hakim mahkamah Syariah untuk menentu dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah terbabit. Di antara bentuk hukuman takzir ialah; penjara, denda, rotan, diberi peringatan dan sebagainya. Sebahagian ulama menegaskan; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh jika difikirkan perlu oleh pemerintah bagi membendung jenayah dan menyelamatkan masyarakat. 

Wallahu a'lam

Rujukan;

1. Pandangan Prof. Dr. Yusuf Sulaiman.

2. Pandangan Dr. Yusuf bin Ahmad al-Qasim (pensyarah Fiqh Perbandingan di Institut Tertinggi Kehakiman Arab Saudi) 

3. al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah, Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarrah Daghi dan Prof. Dr. Ali Yusuf al-Muhammadi.


Tafsir Surah Muhammad Ayat 13 -14

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

وَكَŰŁَيِّنْ مِنْ قَ۱ْيَŰ©ٍ هِيَ ŰŁَŰŽَŰŻُّ قُوَّŰ©ً مِنْ قَ۱ْيَŰȘِكَ Ű§Ù„َّŰȘِي ŰŁَŰźْ۱َŰŹَŰȘْكَ ŰŁَهْلَكْنَŰ§Ù‡ُمْ فَلَۧ نَۧ۔ِ۱َ لَهُمْ (13) 

Maksudnya : "Dan betapa banyaknya negeri-negeri yang (penduduknya) lebih kuat dari (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka; maka tidak ada seorang penolongpun bagi mereka".(Surah Muhammad (47) ayat 13)

Asbabun Nuzul Surah Muhammad ayat 13 :

Ibnu Abbas r.a. menegaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Rasulullah yang, ketika hendak berangkat ke Gua Tsur, memandang ke arah Mekah dan berkata, " Engkau adalah negari Allah yang sangat kucintai. Jika bukan kerana pendudukmu yang mengusirku, aku pasti tidak akan meninggalkanmu." (Hadis Riwayat Abu Ya'la. Lihat Ibnu Katsir :5/240 dan Qurthubi : 9/6286)


Dalam ayat ini Allah SWT. memberikan lagi perumpamaan sebagai penghibur hati Rasulullah SAW. yang telah digundahkan oleh sikap dan tindakan orang-orang musyrik Mekah itu. 
Diterangkan bahawa berapa banyaknya negeri-negeri dahulu yang penduduknya lebih kuat badannya, lebih banyak pengetahuannya, lebih mampu membangun negerinya, lebih banyak tentaranya sehingga dapat menaklukkan negeri-negeri sekitar negeri mereka dibandingkan dengan orang-orang musyrik Mekah. Semuanya itu telah dihancurkan oleh Allah SWT dengan berbagai macam malapetaka yang menimpa mereka dan negeri mereka. Dalam menghadapi malapetaka itu mereka tidak mempunyai seorang penolong pun. Semua kekuatan kekuasaan dan tentara yang gagah perkasa itu tidak ada ertinya sedikit pun dalam menghadapi malapetaka itu. 

Orang-orang musyrik Mekah akan mengalami nasib yang demikian pula seandainya mereka tetap mengingkari seruan engkau hai Muhammad. Kerana itu bersabar dan tabahlah menghadapi sikap dan tindakan mereka itu dan Allah SWT pasti menolongmu dan memenangkan hamba-hamb-Nya yang taat kepada-Nya. 

Diriwayatkan oleh Abe bin Hamid dan Abu Ya'la dan Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Mardawih dan Ibnu Abbas, bahawa tatkala Nabi Muhammad akan meninggalkan Mekah, sebelum hijrah ke Madinah, beliau menoleh ke belakang melihat negeri Mekah dan berkata: "Engkau (Mekah) adalah negeri Allah yang paling aku cintai dan kalau tidaklah penduduknya yang telah mengusirku, tentu aku tidak akan meninggalkan engkau. maka turunlah ayat ini".

Firman Allah SWT :

ŰŁَفَمَنْ كَŰ§Ù†َ Űčَلَى ŰšَيِّنَŰ©ٍ مِنْ ۱َŰšِّهِ كَمَنْ ŰČُيِّنَ لَهُ ŰłُÙˆŰĄُ Űčَمَلِهِ وَۧŰȘَّŰšَŰčُÙˆŰ§ ŰŁَهْوَۧۥَهُمْ (14) 

Maksudnya : "Maka apakah orang-orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan mereka memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya."(Surah Muhammad (47) ayat 14)

Dalam ayat ini Allah SWT. mengadakan perbandingan antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang kafir dengan mengatakan, "Apakah sama orang yang mahu berfikir sehingga ia mempunyai pengertian, pemahaman dan keyakinan terhadap agama Allah SWT dan al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad dengan orang-orang yang tidak mahu menggunakan fikirannya. sehingga ia tidak percaya bahawa Allah SWT akan memberi pembalasan yang setimpal kepada orang-orang yang mengikut hawa nafsunya dan godaan syaitan? Tentu saja kedua jenis orang itu tidak sama, bahkan mempunyai perbezaan sangat besar. 

Pada ayat yang lain Allah SWT berfirman: 

ŰŁَفَمَنْ يَŰčْلَمُ ŰŁَنَّمَۧ ŰŁُنْŰČِلَ Ű„ِلَيْكَ مِنْ ۱َŰšِّكَ Ű§Ù„ْŰ­َقُّ كَمَنْ هُوَ ŰŁَŰčْمَى Ű„ِنَّمَۧ يَŰȘَŰ°َكَّ۱ُ ŰŁُولُو Ű§Ù„ْŰŁَلْŰšَِۧۚ (19) 

Maksudnya : "Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhan-Mu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran". (Surah Ar-Ra'd (13) ayat 19) 

Dan firman Allah SWT.: 

لَۧ يَŰłْŰȘَوِي ŰŁَŰ”ْŰ­َُۧۚ Ű§Ù„Ù†َّۧ۱ِ وَŰŁَŰ”ْŰ­َُۧۚ Ű§Ù„ْŰŹَنَّŰ©ِ ŰŁَŰ”ْŰ­َُۧۚ Ű§Ù„ْŰŹَنَّŰ©ِ هُمُ Ű§Ù„ْفَۧۊِŰČُونَ (20) 

Maksudnya : "Tiada sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga, penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang beruntung." (Surah Al-Hasyr (59) ayat 20)

Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan dua ayat di atas jelaslah kepada kita semua bahawa perjuangan untuk mengajak manusia untuk beriman kepada Allah SWT dan melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya perlu kepada kesabaran, kesungguhan dan bertawakal kepada Allah SWT sebagaimana baginda dan para sahabat mengalami dugaan dan ujian yang besar sehingga mereka berhijrah daripada Mekah ke Madinah.

Allah SWT mampu menghancurkan sesiapa saja golongan yang menentang dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW sebagaimana hancur dan binasanya umat-umat yang terdahulu. Peringatan ini untuk sesiapa sahaja yang menentang ajaran Islam samada di zaman Nabi SAW atau zaman sekarang akan mendapat balasan dan azab daripada Allah SWT.


Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang berpegang teguh di atas jalan kebenaran tidaklah sama dengan orang yang telah digoda oleh syaitan kerana syaitan telah menjadikan orang yang jahil / sesat itu memandang baik perbuatan yang buruk yang telah mereka kerjakan dengan mengikut hawa nafsu. Begitu juga tidak sama orang yang akan menjadi peghuni syurga berbanding dengan orang yang akan menjadi penguni neraka.



Tafsir al-Quranhttp://users6.nofeehost.com/alquranonline/Alquran_Tafsir.asp?pageno=5&SuratKe=4


 http://users6.nofeehost.com/alquranonline/Alquran_Tafsir.asp?pageno=5&SuratKe=4

Friday, October 11, 2013

Soal Jawab Agama Siri 98 (Aqiqah, Tanggungjawab Anak, Adab Bersukan, Hadis Berlapang Dada dan Hadis Dunia Syurga Untuk Orang Kafir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 98 adalah membicarakan persoalan aqiqah untuk anak angkat, tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapanya, adab-adab bersukan, hadis berlapang dada semasa menjual , membeli dan menagih hutang dan huraian hadis bahawa dunia ini syurga untuk orang kafir dan penjara untuk orang mukmin.

771. Soalan : Saya ada mengambil anak angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? Terima kasih

Jawapan :

Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya). Untuk anak tidak sah taraf aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya. Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulama termasuk mazhab Syafiie.

Ada juga ulama berpandangan; Bahawa asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW maksudnya :  “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). 

Dalam hadis ini Nabi SAW hanya menyebutkan "disembelih (ternakan) untuknya" tanpa Nabi SAW menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya.

772. Soalan : Apakah tanggungjawab dan bakti anak kepada ibu bapanya apabila mereka telah tua?

Jawapan :

Seorang bapa yang pengasih dan penyayang tidak akan membiarkan anak-anaknya hidup menderita tanpa kasih sayang dan tanpa ilmu pengetahuan. Dia akan sanggup berkorban untuk memastikan anak-anaknya mendapat nafkah yang secukupnya dan diberikannya pendidikan samaada untuk kebahagiaan di dunia dan hari akhirat.

Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “Apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “Yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”

Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “Wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”

Perempuan itu membalas, “Tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjaga aku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Sesungguhnya kamu jika berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkanbalasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim dengan kerabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap ibu dan bapa kamu dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihi aku pada waktu aku kecil'.” (Surah al-Isra’ ayat 24)

773. Soalan :  Bolehkan ustaz jelaskan apakah adab-adab bersukan menurut cara Islam?

Jawapan :

Rasulullah SAW sememangnya menggalakkan sahabat-sahabatnya bersukan atau riadah dan baginda pernah menyaksikan aktiviti bersukan mereka bersama-sama Aisyah r.ha.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah r.ha berkata, (maksudnya), "Sesungguhnya aku telah melihat Nabi SAW menutupku dengan kain selendangnya dan (ketika itu) aku sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu."

Sukan boleh menjadi suatu ibadah dan mendapat pahala sekiranya kita menjaga adab-adabnya. Antara adab-adab yang perlu dipraktikkan ialah :

1. Niat untuk merai keredaan Allah.

2. Permainan yang tidak menyalahi syarak.

3. Berpakaian menutup aurat. Tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan tidak jarang.

4. Permainan yang tidak melibatkan perjudian seperti mempertaruhkan wang dan seumpamanya.

5. Tidak lalai sehingga meninggalkan kewajipan seperti solat.

6. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.

Agak malang, kebanyakan sukan yang dipraktikkan masa kini tidak menghiraukan aturan syariat yang disebutkan di atas. Contohnya , sukan wanita seperti renang, gimnastik, tarian dan lumba lari yang kebanyakannya mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat, di samping bebas disaksikan oleh kaum lelaki.

Bersukan yang sepatutnya mendapat keredaan Allah sebaliknya menempah kemurkaan Allah SWT.

774. Soalan : Bolehkan ustaz huraikan maksud hadis riwayat Bukhari daripada Jabir r.a.  "Sesungguhnya Allah SWT  akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang."

Jawapan :

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. 

Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Terdapat katu kisah dizaman Bani Israil seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

775. Soalan : Di dalam satu ceramah agama seorang ustaz ada membaca sepotong hadis nabi yang berbunyi  : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir." Bolehkah ustaz huraikan maksud hadis tersebut?

Jawapan :

Memang benar terdapat satu hadis Nabi SAW yang bermaksud : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari  Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)

Hidup di dunia ini adalah medan ujian untuk orang-orang yang beriman. Hidup di dunia adalah sementara waktu sahaja kerana setiap masa terikat dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Keadaan yang dikawal dengan undang-undang dan hukum-hakam dan tidak boleh lari daripada peraturan yang ditetapkan adalah dianggap sebagai penjara. 

Jika kita lihat suasana hidup dipenjara tidaklah sama semasa hidup bebas diluar penjara, kerana dipenjara setiap masa dikawal dengan undang-undang , ada warden yang sentiasa mengawasi setiap banduan, waktu untuk makan, bermain, tidur semuanya ada masa-masa yang telah ditetapkan dan setiap banduan diwajibkan untuk mematuhinya.

Di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir kerana mereka bebas membuat apa saja yang dapat memuaskan hawa nafsunya. Bagi mereka tidak ada yang haram semuanya boleh belaka seperti berzina, minum arak, menipu, main judi dan bersekedudukan tidak halangan dan peraturan yang menyekatnya. Di hari akhirat nanti mereka tidak berpeluang memasuki syurga sebaliknya akan dimasukkan ke dala neraka Jahanam.

Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Seorang mukmin tahu dengan yakin, dunia bukan negeri yang mulia. Tempat sekadar persingahan yang sementara.

Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW bersabda : "Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia untuk hamba-Mu yang beriman!"

Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu syurga  seraya berfirman maksudnya :  " Inilah yang Ku- persiapkan untuknya"

Nabi Musa a.s.  berkata : "Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukan-Mu, andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan."

Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau memberi kenikmatan  kepada orang kafir..." Lalu Dia membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku-persiapkan untuknya."

Nabi Musa a.s.  berkata : "Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu, andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah tempat kembalinya, maka  seakan ia tak pernah merasakan kebaikan sama sekali'."
(Hadis Riwayat Ad-Dailami dengan sanad shahih Abu Said)

Wednesday, October 9, 2013

Soal Jawab Agama Siri 97 (Ciri-ciri Dajjal, Hukum Bersalaman, Makhluk Jin, Menjaga Anak Yatim Dan Selesaikan Hutang)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 97 adalah membicarakan persoalan Dajjal di akhir zaman, hukum bersalaman dengan wanita yang ajnabi, kehidupan mahkluk jin, memuliakan dan menjaga harta anak yatim dan cara selesaikan hutang jika si beri hutang sudah meninggal dunia.

765. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan ciri-ciri Dajjal bermata satu yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW?

Jawapan :

 

Apa yang disebut dalam hadis ialah; Dajjal bermata satu adalah buta sebelah matanya, bukan bermata satu ditengah-tengah dahinya. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnya tentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu Dajjal). Ketahuilah bahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Di tengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’” (Hadis Soheh al-Bukhari; 7408. Soheh Muslim; 2933, dari Anas bin Malik r.a.).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjal itu mata kirinya buta, rambutnya lebat / kusut, serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka” (Hadis Soheh Muslim, 2934, dari Huzaifah r.a.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."



766. Soalan : Apakah hukumnya bersalaman dengan wanita yang ajnabi (bukan mahram)?

Jawapan : 

Berdasarkan pengamatan ulama, seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi.

Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan :
"Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan". (Kitab al-Azkar, 228).

Dalilnya ialah ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah SAW. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah :

"Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan". (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10).

Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : "Aku datang kepada Rasulullah SAW. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”.

Lantas Rasulullah SAW. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. 

Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”.

Lalu Nabi SAW menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah SAW. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda SAW. adalah qudwah dan ikutan kita semua. Wallahualam

767. Soalan : Saya pernah membaca beberapa ayat al-Quran bahawa Allah mencipta alam buana ini dari ledakan Big Bang dan seperti dalam teori fizik, dari situlah Allah SWT mencipta planet-planet melalui pergerakan graviti terhadap bahan yang terhasil dari ledakan itu sendiri. Bumi kita sekarang terletak dalam salah sebuah galaksi yg terdiri dari jutaan galaksi yg lain (Maha Suci Allah). 

Dalam al-Quran saya tidak ketemukan apa-apa hidupan lain di planet tersebut, adakah terdapat  hidupan lain yang dinamakan ‘makhluk asing’ di planet -planet yang lain? Tidak berlawanan dengan ayat yang menyatakan manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna dan menjadi khalifah di alam ini, dalam banyak teori mengenai keujudan mereka (alien) tubuh fizik mereka tidak sehebat kita, berkaki pendek, kepala dan bermata besar, tidak boleh bercakap melainkan dengan telepati sahaja. Namun mereka amat pintar terbukti dengan kemampuan teknologi UFOnya (kalis graviti, memansuhkan inertia, dan lain-lain). 

Apakah ada hadis sahih menjelaskan keujudan makhluk asing di planet-planet tersebut? Apakah Nabi Muhammad SAW pernah membuat hubungan dengan mereka?

Terdapat teori lain yang mendakwa kenderaan Jin merupakan kapal piring terbang 
(UFO). Apakah pandangan Islam terhadap dakwaan ini?

Jawapan :

Terimakasih di atas soalan tersebut dan saya akan cuba menjelaskan setakat kemampuan yang ada berdasarkan nas-nas di dalam al-Quran dan hadis-hadsi Nabi SAW.

1.Pertama : Mengenai kebenaran teori Big Bang :

Terdapat ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan mengenai teori Big Bang.

Firman Allah SWT maksudnya :  "Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya." (Surah al-Anbiya' (21) ayat 30)

Memang terbukti bahawa sarjana-sarjana Barat sudah mengakui dan menerima teori Big Bang bukanlah lagi teori, tapi satu realiti sedangkan fenomena Big Bang ini sudah dijelaskan dalam dalam al-Quran. Lawati laman web Harun Yahya dari Turki untuk lebih memahami teori Big Bang.

2. Kedua:  Apakah ada makhluk asing hidup di galaksi dan planet yang bertaburan itu? Jawapan yang paling selamat ialah Wallahu a'lam (Allah yang lebih Mengetahui). 

Walaubagimana pun perlu kita fahami bahawa  di dalam al-Quran surah az-Zaariyat (51) ayat 56 Allah SWT berfirman maksudnya :"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku". 

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua makhluk ciptaan Allah SWT ini di muka bumi ini adalah semata-mata untuk menyembah dan beribadah kepaad Allah SWT. Jika ada makhluk-maklhuk lain di planet-planet lain ianya tidak lari daripada makhluk jenis jin , kerana penciptaan jin berlaku sebelum Nabi Adam a.s di ciptakan oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran , Allah SWT berfirman maksudnya : “Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat dan dengan apa yang tidak kamu lihat” (Surah al-Haaqqah (69) ayat 38-39)

Yang pasti sudah ada dua jenis makhluk yang tidak dapat kita lihat telah mampu dilihat oleh sebahagian orang termasuk para Nabi, antaranya Malaikat dan Jin. Jika Jin ini menampakkan dirinya dalam bentuk piring terbang pun ada kemungkinan juga. Malaikat memenuhi 7 petala langit, dijelaskan oleh ayat”

Firman Allah SWT maksudnya : ”Semua langit hampir  pecah di sebelah atasnya (kerana kebesaran Allah) sedang malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya” (Surah asy-Syuura(42) ayat 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Tidak ada siapa yang mengetahui bilangan tentera Tuhanmu (malaikat) kecuali Dia sendiri”  (Surah al-Muddatsir (74) ayat 31)

Di dalam al-Quran terdapat huraian mengenai makhluk jin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami telah menciptakan Jin sebelum Adam dari api yang amat panas” (Surah al-Hijr (15) ayat 27)

” Sesungguhnya ia (jin) dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka” (Surah al-A'raf (7) ayat  27)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Jin ada tiga species: yang terbang melayang, sejenis lagi yang berbentuk ular dan anjing dan satu lagi berdiam di dalam lumpur dan berjalan.” (Hadis Riwayat Tabrani, a-lHakim dan al-Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani dalam sahih al-Jaami’ 3/85)

Di dalam riwayat ada menceritakan bahawa Nabi SAW  pernah membuat perhubungan dengan makhluk ghaib iaitu  Malaikat (Malaiat Jibril) dan Jin, memang benar sama sekali.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan ingatlah ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur:an…” (Surah  al-Ahqaf (46) ayat 29)

Selain daripada kedua makhluk ghaib tersebut tidak terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW ada membuat perhubungan.

Ramai yang tertanya-tanya kapal piring terbang (UFO) yang pernah dilihat oleh manusia, adakah ianya dimiliki oleh makhluk jin atau makhluk asing?

Sebenarnya kapal piring terbang (UFO) adalah kenderaan makhluk jin dan makhluk yang dilihat oleh manusia seperti makhluk asing, berukuran lebih kecil daripada manusia sebenarnya mereka adalah jenis jin yang menampakkan keujudannya di alam dunia. Keadaan ini jarang-jarang berlaku dan tidak mustahil boleh berlaku dengan izin Allah.

Persoalan ini pernah ditanya oleh Muhammad Isa Daud (MID) kepada sahabatnya daripada Jin Islam (JI) bernama Mustafa . Dialog mereka seperti berikut :

MID :  Selama ini ada anggapan bahawa mata kalian selamanya merah, apakah benar"?

JI      : Tidak selamanya demikian. Mata kami , sebagaimana halnya dengan mata manusia, banyak sekali macamnya. Ada mata yang merah hitam, kuning, coklat tua, seperti mata mausia.  Adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata kami, yakni sinar yang selamanya cenderung berwarna merah. Ia tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya, bahkan disitu terdapat suatu keindahan.

Sedangkan telinga kami kedua-duanya mirip telinga kuda, khususnya dalam hal bentuknya yang runcing. Ada pula di antara kami yang telinganya mirip telinga kucing. Kalau ada di antara kami menyerupakan diri dalam bentuk-bentuk tertentu, maka yang paling mereka sukai adalah kucing, kuda atau harimau.

Hidung kami serupa hidung manusia. Hanya ia tidak mancung seperti hidung kalian. Lazimnya hidung kami pesek atau bulat mirip hidung lelaki atau wanita Filipina.

Jin Islam memanjangkan janggutnya, kerana mengikut sunah Nabi Muhammad SAW. Terdapat juga yang tidak berjanggut.

Rambut kami sangat tebal, dan lebih tebal lagi pada kaum wanita jin. Di kalangan kaum lelaki rambut kami terasa lebih kasar, dan dalam skala besar lebih banyak yang botak.

Rambut kaum wanita, bagi kami sangat -sangat panjang. Dan itu, merupakan lambang kecantikan. Sehingga ada di antara mereka yang rambutnya terseret di tanah kerana panjangnya.

MID    : Bagaimana pula tangan dan kaki kalian.?

JI         : Tangan kami seperti tangan kalian. Cuma dari segi panjang lengan dan kuku, agak berbeza. Lengan kami, dalam bandingannya dengan tubuh kami, terbilang sangat panjang, bila dibandingkan dengan lengan kalian terhadap tubuh kalian. Demikian pula halnya dengan kuku-kuku kami. Sebab, jari-jari kami pun panjang-panjang. Sedangkan kaki kami , beza dengan kaki  kalian dalam hal letak tumit dan keruncingan jari-jarinya.

MID    : Apakah kalian juga punya tulang, jantung, organ pernafasan dan pencernaan?

JI         : Ya sama seperti kalian, sekalipun tulang kami, dibandingkan dengan kulit atau daging kami, agak besar. Sekarang ini, kami memiliki kelenturah yang tidak mungkin kalian bayangkan. Organ-organ kami yang selebihnya, agak kecil-kecil. Semuanya berfungsi seperti tubuh kalian, sekalipun kami tidak memerlukan  oksigen untuk bernafas sebanyak yang kalian perlukan.

Begitu pula dengan alat pencernaan yang mencerna segala yang kami makan. Sisa-sisa pencernaan kami juga keluar dari lubang-lubang pencernaan seperti kalian alami, sekalipun najis kami tidak berbentuk kasar, melainkan lebih mirip dengan wab yang sangat pekat.

Sedangkan air kencing, juga berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya, tetapi sangat ringan dan mirip aliran air pancur dikalangan kalian. Itu sebabnya , maka ada syaitan yang boleh mengencingi telinga seorang muslim yang sedang tidur tidak menyebut ASMA ALLAH dan yang dimalam harinya tidak pernah berniat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah, Tuhan semesta alam.

Muhammad Isa Daud menceritakan terdapat peristiwa yang berlaku  :

"Seorang Amerika (namanya Mash) berjumpa di kebunnya makhluk yang pendek tinggi sekitar 160 sentimeter. Di pinggan kanannya ada senjata, sedang di pinggang kirinya tergantung beg besar. Mereka melarikan diri dengan pesawat mereka tingginya kira-kira 2.5 meter. Pesawat mereka diperbuat dari bahan sejenis kaca, pintu pesawat tertutp, dari bawah ke atas. Pesawat berlepas dengan penyemburan cahaya yang sangat menyilaukan."

JI     :  Aku bersumpah kepadamu dengan nama Allah, bahawa mereka adalah jin. Akan tetapi, lazimnya, mereka menampakkan diri dalam bentuk yang lebih tinggi dan besar daripada bentuk mereka yang sebenarnya.

MID  :  Dari mana mereka datang?

JI     : Entah, tetapi mungkin saja mereka itu adalah penghuni ruang cahaya yang terdapat di antara sinar merah dan awan. Atau, penduduk yang datang dari dasar lautan. Sekarang engkau sudah tahu secara lengkap. Kerana itu kemukakan kebenaran yang engkau ketahui ke seluruh dunia, sehingga tidak ada lagi kegelapan yang ditimbulkan oleh tipu-muslihat jin dan yang terbentuk kerana dugaan-dugaan salah. 

[ Perhatian : Misteri terlihatnya UFO (Kapal Piring berbentuk bulat) sebenarnya adalah pesawat daripada makhluk jin bukannya makhluk asing dari planet yang lain daripada bumi. Mustafa (Jin Islam) yang berbicara dengan Muhammad Isa Daud menjelaskan beliau sudah melakukan penerbangan lebih seratus kali di angkasa raya tetapi tidak berjumpapun dengan makhluk asing yang dikatakan oleh manusia. Jika kalian bertemu dengan apa saja bentuk rupa makhluk samaada cantik atau hodoh sebenarnya mereka adalah terdiri daripada makhluk jin yang boleh menyerupai sesuatu. ]

Jin yang berdiam di suatu tempat dan memperlihatkan diri dalam peristiwa-peristiwa yang ganjil-ganjil. Apabila mereka (jin) berhadapan dengan seorang muslim yang bertakwa dan kuat akidahnya, lalu orang itu membaca Ayat Kursi dan ayat pertama dalam surah Ash- Shaffat . [Firman Allah SWT maksudnya, "Demi (rombongan malaikat) yang berbaris bershaf-shaf" (Surah Ash-Shaffat ayat 1) ], pasti mereka terbakar dengan kekuatan yang diberikan Allah, atau lari lintang pukang, tanpa mahu kembali lagi ketempat itu.

Dari hadis riwayat Tabrani di atas, memang terdapat species Jin yang terbang di angkasa. Ini diperkuatkan oleh dalil al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya : ” kecuali syaitan (jin) yang mencuri-curi yang dapat didengar (dari Malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang” (Surah al-Hijr (15) ayat 18)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : " ...tapi sekarang barangsiapa yang mencuba mengintip tentu akan menemui panah api yang sedia menunggu.”(Surah al-Jin (72) ayat 9) 

Maka dengan sifat dan keupayaan jin di angkasalepas mengintip rahsia langit, maka sudah tentu mereka memiliki keupayaan terbang dan kekuatan yang canggih. Walllahu a'lam.

(Ruj: DrSulaiman al-Ashqay, Alamul Jinn was Syayaathin/134; Dr alBasith alJamal, Mausu’ah al-Isyaraat al-Ilmiyah fi alQur:an was Sunnah dan Buku Dialog Dengan Jin Islam - Muhammad Isa Daud)

768. Soalan : Saya terdengar pendapat mengatakan pemegang wasiat harta anak yatim mempunyai sebahagian hak keatas harta tersebut. Dan ia dibolehkan utk membelanjakan asalkan tidak dgn secara pembaziran.

Betulkah pandangan sebegini?

Jawapan : 

Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:

“Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yg miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) AQT 4 (an-Nisaa’ : 06

Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:

1. Menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)

2. Membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan

3. Menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu

4. Pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.


Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya. 

769.Soalan : Apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Jawapan :

Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:


“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675). Wallahu a'lam.

770. Soalan : Bagaimana melunaskan hutang, apabila orang yang memberi hutang sudah meninggal dunia atau tidak diketahui sekarang dia berada di mana?

Jawapan :

Hal ini telah dijawab oleh Syaikh Ibnu ‘Uthaimin Rahimahullah. Beliau mengatakan, “Apabila kamu mempunyai hutang kepada seseorang dan kamu merasa belum membayarnya dan merasa hutang tersebut masih ada sampai orang yang memberi hutang mengambil haknya, dan apabila orang yang memberi hhutang tadi telah meninggal, maka hutang tersebut diberikan pada ahli warisnya. Jika kamu tidak mengetahui ahli warisnya atau tidak mengetahui orang tersebut atau tidak mengetahui di mana dia berada, maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah subhanahu wa ta’ala mengetahui hal ini dan akan menunaikan pada orang tersebut.” (Syarh Riyadhis Sholihin, Bab Taubat, 1/47)

Dan juga telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawa beliau membeli hamba daripada seorang lelaki. Kemudian beliau masuk (ke dalam rumah) untuk mengambil wang pembayaran. Akan tetapi tuan hamba tadi telah pergi sehinggakan Ibnu Mas’ud yakin lagi tuan hamba tersebut tidak akan kembali. Akhirnya beliau bersedekah dengan wang tadi dan mengatakan, “Ya Allah, wang ini adalah milik tuan hamba tadi. Jika dia redha, maka balasan untuknya. Namun jika dia enggan, maka balasan untukku dan baginya kebaikanku sesuai dengan kadarnya.” (Tazkiyatun Nufus pada Bab At Taubah yang dikumpulkan dari tulisan Ibnu Rojab, Ibnul Qoyyim, dan Imam Al Ghozali oleh Dr. Ahmad Farid)

Kesimpulan:

a) Kena pastikan bahawa memang orang yang kita berhutang dengannya tidak dapat ditemui.

b) Jika tidak dapat ditemui, maka bayarkan hutang itu kepada warisnya.

c) Jika tidak diketahui siapa warisnya, maka boleh bersedekah dengan meniatkan untuk pemilik hutang tersebut.


Wallahua’lam.






Kiraan Zakat Pelaburan Dalam Bursa Saham Patuh Syariah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Membayar zakat adalah salah satu kewajipan setiap muslim . Apabila wang simpanan atau wang pelaburah cukup nisab dan tempuh maka kewajipan membayar zakat tidak boleh di abaikan. Oleh itu bagaimana kita hendak mengira kiraan zakat untuk pelaburan tersebut.

Di dalam Bursa Saham terdapat beberapa produk yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti, derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya.

Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan.

Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini iaitu :

Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual beli sepanjang tahun. 

Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.

Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat. Orang yang melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertamanya, bagi saham yang dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan yang diperolehi.

Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung tahun sahaja.

Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.

Contoh: Puan Nur  bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (patuh syariah). 
Berikut adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.

Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian.

Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun 2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. 

Manakala, pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.

Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:

* 31 Dis. 2010
* Jual RM9.50/Unit
* 10,000 X RM9.50 > RM95,000
* Baki selepas jualan> -RM5,000.

Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang berjumlah RM9,500.

Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki, yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang melebihi haul.

Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan, yakni keuntungannya tidak dizakatkan.

Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan. Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Contoh: Jamal membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit > RM50,000. 

Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jamal ialah, 10,000 unit X RM5.50 > 55,000 X 2.5% > RM1,375.

Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka masih wajib dizakatkan.

Contohnya:
Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit
Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit
Jumlah saham > 10,000 unit
Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.

Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.

Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat perniagaan. Wallahu a'lam.